Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Kementerian Pembangunan

PENANDATANGANAN Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kerajaan Republik Singapura.
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 3 November. – Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kerajaan Republik Singapura bagi “Kerjasama Dua Hala dalam Persekitaran Binaan yang Mampan dan Boleh Didiami" telah berlangsung di Jerudong, hari ini.
Menandatangani bagi pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, manakala Kerajaan Republik Singapura diwakili oleh Menteri Pembangunan Nasional, Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Chee Hong Tat. Majlis penandatanganan diakhiri dengan sesi penyerahan dokumen persefahaman.

SESI penyerahan dokumen persefahaman dari wakil kerajaan kedua-dua buah negara.
Dalam ucapan alu-aluannya, Yang Berhormat Menteri Pembangunan menyatakan bahawa Memorandum Persefahaman ini dilihat sebagai satu platform yang bernilai bagi kerjasama praktikal yang membolehkan perkongsian pengetahuan serta menggalakkan kerjasama dan pembelajaran dalam pelbagai bidang seperti bangunan hijau, produktiviti dan kualiti pembinaan, pengurusan kemudahan, perancangan dan pembangunan bandar, inovasi teknologi serta reka bentuk dan kebolehcapaian sejagat.

SESI bergambar ramai.
Turut hadir semasa majlis penandatanganan tersebut ialah Setiausaha Tetap, Kementerian Pembangunan, Dayang Dr. Nor Imtihan binti Haji Abd Razak; Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan serta pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan kakitangan daripada kedua-dua pihak.